Cikgu Salmi hanya dapat melihat sahaja Nadia melangkah pergi pada hari terakhir persekolahannya. Apakan daya pengaruh cikgu tidak sekuat pengaruh ibu dalam penentuan masa depan anak-anak. Cikgu Salmi mencuba sedaya upaya untuk menasihati Nadia, memberikannya semangat, menerangkan mengenai kepentingan pelajaran dan penentuan masa depan tetapi takdir menentukan segalanya. Cikgu Salmi tidak dapat menahan sebak di dada, matanya kemerahan, airmatanya bergenang lalu mencurah ke pipi. Puan Simah terlihat akan derai air mata tersebut, melihat akan sepasang mata merenungnya Cikgu Salmi pantas mengelap air matanya dengan lengan baju.
Sejak kehadiran Nadia di stokisnya, perniagaan Puan Simah semakin maju. Berjujut-jujut pelanggan membanjiri kedainya. Nadia sememangnya mempunyai kemahiran dalam perniagaaan. Masakan tidak, dia adalah pelajar pintar di sekolahnya dahulu. Tidak lama selepas itu Nadia sudah mampu untuk membeli Kancilnya sendiri. Apalagi semakin panjanglah langkah Nadia. Oleh kerana kemudahan kenderaan tersebut Nadia mempunyai ‘downline’ dia sendiri. Selang dua bulan kemudian, Nadia sudah mampu menukar keretanya.
Hidup Nadia berubah, seorang yang muda sepertinya mempunyai lebihan wang. Dia membeli apa yang dikehendaki tanpa perlu berfikir panjang. Dia sering juga mengunjungi kelab-kelab malam dan berkareoke. Puan Simah bukan sahaja melihat akan perubahan mendadak anaknya itu tetapi juga wang yang diperolehinya terlalu cepat. Puan Simah lantas menjalankan siasatannya sendiri. Dia merujuk kembali kepada akaun dan mendapati bahawa perolehan Nadia adalah dua kali perolehannya sedangkan dia yang memulakan perniagaannya itu. Lantas dia mengekori kegiatan Nadia. Seperti yang disyakki, Nadia menjalankan sistem piramid di dalam perniagaannya. Dia memutuskan untuk berjumpa dengan Cikgu Salmi.
Sebulan kemudian, beberapa kereta peronda menghampiri rumah Puan Simah. Mereka memaklumkan Puan Simah bahawa mereka perlu menahannya kerana stokisnya mengamalkan sistem pyramid. Sebelum mereka membawanya pergi, dia meminta supaya dia dapat menghubungi Cikgu Salmi. Cikgu Salmi yang tinggal berdekatan pantas tiba di tempat kejadian. Pesan Puan Simah kepada Cikgu Salmi “Kamu jagalah Nadia baik-baik, kamu sahajalah yang aku percaya untuk menjaganya.” Nadia yang berada di situ hendak membuka mulut, tetapi dilarang oleh ibunya. Nadia tidak dapat menahan airmatanya. Dirinya memegang ibunya sehingga ibunya dibawa pergi. Hanya mereka bertiga sahaja yang tahu sambil Salmi dan Nadia menangis memeluk sesama mereka.
